Search This Blog

WeLc0Me

emmm.....

Wednesday, June 9, 2010

Lelaki selekeh selepas beristeri bukan budaya Melayu

TIDAK ukur baju di dalam sendiri, begitulah diibaratkan kepada sikap sesetengah lelaki Melayu yang menganggap kaum hawa perlu sentiasa tampil cantik walhal mereka sendiri tidak menjaga penampilan terutama selepas bergelar suami.

Fenomena itu bukanlah budaya baru dalam masyarakat kita sehingga alasan isteri tidak pandai menjaga penampilan digunakan oleh suami dalam sebahagian kes perceraian dan poligami meskipun sebenarnya ada udang di sebalik batu termasuk untuk mencari wanita lain. Justeru, tidak hairanlah sekiranya sesetengah kaum Adam yang kurang menjaga penampilan, berani mengambil peluang memikat hati wanita cantik tanpa segan silu tanpa menyedari situasi itu ibarat pipit dengan enggang. Sikap kaum Adam yang kurang mengambil berat terhadap penampilan mereka mungkin disebabkan mereka menganggap gaya hidup dan budaya masyarakat Melayu lebih menekankan kepentingan menjaga kecantikan kepada kaum wanita berbanding lelaki.

Bagaimanapun ramai yang tidak menyedari tuntutan menjaga keterampilan sebenarnya ditujukan kepada semua pihak seperti hadis yang diriwayatkan Abbas RA yang menceritakan Rasulullah SAW meminta beliau tampil kemas dan segak di hadapan isteri seperti isterinya yang juga berhias untuk suami.

Hadis itu menjelaskan kepentingan pasangan suami isteri perlu saling berhias, tampil segak, kemas dan menawan ketika berdepan dengan pasangan masing-masing demi menjaga kesejahteraan alam perkahwinan.

Pengkaji budaya yang juga bekas Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Noriah Mohamed, berkata sikap kurang ambil endah penampilan diri berpunca daripada tanggapan lelaki sebagai ketua keluarga yang berkemampuan untuk memenuhi keinginan dan kehendak mereka tanpa perlu menjaga penampilan diri.
“Tidak dapat dinafikan sebahagian lelaki Melayu tidak menjaga penampilan kerana mereka merasakan peranan mereka sebagai pemimpin dan ketua keluarga sudah cukup untuk menampung kekurangan yang ada.

“Sebenarnya, masyarakat zaman dulu sangat mementingkan etika dalam menjaga penampilan diri sama ada dari segi kecantikan dalaman dan luaran termasuk lelaki Melayu sendiri,” katanya.

Baginya, fenomena itu bukanlah perkara asing bagi masyarakat dunia kerana ia tidak hanya berlaku kepada lelaki Melayu, bahkan kebanyakan kaum lelaki seluruh dunia menganggap penampilan sebagai perkara yang remeh.

“Lelaki sering dikaitkan dengan tugas yang lebih berat berbanding wanita sehingga mereka terlupa bahawa penampilan diri sebelum dan selepas berkahwin memainkan peranan penting dalam menentukan kebahagiaan rumah tangga,” katanya.

Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Ieda Rasyada Daud, berkata masyarakat Melayu jarang membicarakan penampilan lelaki ketika berhadapan dan berurusan dengan wanita kerana tanggapan umum bahawa soal kecantikan hanya dikaitkan dengan wanita.

“Sebahagian lelaki Melayu hanya tampil segak untuk menawan hati kekasihnya sehingga apabila berjaya memikat dan mengahwininya, mereka mula mengetepikan penampilan selepas mendirikan rumah tangga.

“Ini berbeza dengan kaum isteri yang sanggup menjaga bentuk badan selepas berkahwin kerana takut menerima pesaing sehingga sanggup mengikat perut untuk memenuhi kehendak dan selera suami,” katanya.

Meskipun penampilan bukan faktor utama untuk memikat hati wanita, Ieda Rasyada berkata, ia tetap memainkan peranan penting dalam memelihara hubungan itu kerana perwatakan dan penampilan yang baik mampu memberi tanggapan positif kepada setiap pasangan.

“Sekiranya kaum lelaki inginkan pasangan mempunyai penampilan menarik, begitu jugalah sebaliknya dengan kaum wanita yang juga mahukan suami tampil segak. Namun, tidaklah sampai kepada biar papa asalkan bergaya, sebaliknya cukuplah sekadar sejuk mata memandang,” katanya.

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim

No comments:

Post a Comment